Perbezaan Antara Perbankan Islam dengan Konvensional

Samuel ialah pelajar tahun akhir di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia. Sebagai pelajar Fakulti Perniagaan dan Kewangan, dia diberikan tugasan untuk membuat kertas kerja mengenai industri perbankan di Malaysia.

Untuk memulakan tugasannya, dia berpendapat ada baiknya untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan antara perbankan Islam dengan konvensional. Oleh itu, dia pergi ke sebuah bank Islam tempatan untuk mendapatkan maklumat tersebut dan pegawai bank tersebut memberitahu bahawa perbezaan utama antara perbankan Islam dengan konvensional ialah perbankan Islam perlu berlandaskan Syariah. Perbankan Islam juga perlu menghindar daripada terlibat dengan aktiviti seperti riba’ atau gharar (ketidakpastian yang berlebihan).

Sebagai contoh, bank-bank Islam tidak mengenakan faedah bagi pembiayaan yang diberikan, sebaliknya pembiayaan diberikan berdasarkan kontrak musyarakah dan sebarang keuntungan dan kerugian akan dikongsi bersama. Dalam pembiayaan pembelian rumah pula, bank Islam akan menetapkan harga jualan (termasuk margin keuntungan bank) pada peringkat awal lagi.